Sunday, 26 February 2017

Penangan Didi and Friends

Demam Didi and Friends ni memang melanda budak-budak dalam lingkungan setahun sampailah 9,10 tahun. Aku ni kira tertinggal keretapi jugalah. Alah, anak baru pandai bercakap. Nak tengok itulah, inilah. Program ni adalah salah satu daripada benda yang anak aku akan minta nak tengok hari-hari. Ada bagusnya lagu-lagu dalam Didi and Friends ni. Banyak 'moral values' yang disampaikan melalui lagunya. Oleh sebab itu, aku bersetuju program pendidikan macam ni. Cuma ada masalah di peringkat pengguna. Pendapat aku ni peribadi sahaja. Dan cara untuk atasinya tak selalu aku laksanakan sebab kekangan masa dan tenaga. Aku pun budak lagi. Sedikit sebanyak bolehlah nak kawal sikit daripada tak terkawal langsung.

Pertama, masalah berkaitan dengan gajet dan TV. Umum tahu kesan negatif penggunaan gajet dan TV kepada kanak-kanak. Maka, apa yang aku buat adalah dengan ajak anak berborak tentang lagu tu. Contohnya, aku ulang semula 'moral values' yang disampaikan dalam lagu tu dan minta anak bersetuju walaupun dia tak faham pun apa yang kita cakap. Selain tu, aku juga tanya anak, "Didi pakai baju warna apa ye?" Masa dia tak pandai cakap dulu, aku sebut je Didi pakai baju warna biru, Nana ada pakai reben, Jojo pakai cermin mata dan macam-macam lagi. Sekarang ni bila dia dah pandai cakap, dia ulas apa yang dia tengok dan ajak aku borak sekali. Oleh itu, memang kurang berkesempatan aku nak buat benda lain. Bosan juga sebenarnya. Dan penat. Pernah sampai sakit-sakit kepala melayan dia punya soalan. Dan hari-hari tengok Didi & Friends. Sampai aku pun boleh hafal hampir semua lagu Didi ni. Suami aku pun.

Kedua, screen time. Memang kena kawal masa anak-anak dengan skrin. Bahagian ni agak 'fail' bagi kami sebab suami aku ni jenis mudah 'absorbed' dalam benda berskrin ni sampai tak sedar masa berlalu. 'Rules' aku sekali saja tengok untuk sehari. Kalau dah tengok siang, malam tak boleh tengok. Dan sebaliknya. Aku buat macam perjanjian dengan anak, walaupun dia kata 'okay' tanpa faham apa-apa. Mula-mula memang mengamuk anak bila aku buat 'rules' macam ni. Mak aku kalah betul bila cucu dia mengamuk menangis-nangis. Mujur aku jenis tegas sikit. Lantak kaulah nak menangis ke apa. Kena 'firm' dengan peraturan yang dah ditetapkan. Kalau tak, lain kali dia tak ikut dah.

'Point' ketiga ni lebih kepada nilai budaya dan sastera. Banyak lagu yang digunakan adalah lagu rakyat dan 'nursery rhymes'. Bila lirik lagu rakyat dan 'nursery rhymes' diubah, rasa seperti sedikit sebanyak nilai budaya dan sastera dihakis daripada generasi masa hadapan. Kadang-kadang, bila balik rumah Mak aku contohnya, Mak aku akan nyanyi ikut lirik asal dan anak aku akan marah bila tak sama dengan apa yang dia pernah dengar (dan hafal!). Aku tak ada lagi cara untuk memperkenalkan lirik yang sebenarnya pada anak aku. Biarlah dulu. Cuma bila dia besar nanti mungkin akan jadi satu kejutan pada dia. Bagus juga. Kalau 'curiosity' dia tinggi, mungkin dia akan rajin cari maklumat dan mengkaji. Kalau dia ada minat. Kalau tak ada, alamatnya boleh lenyap lagu-lagu rakyat ni sebab Didi and Friends ni ramai peminat, satu fenomena yang hebat di Malaysia. Jadi generasi akan datang tak tahu lagu rakyat yang asal.

 Kesimpulannya, semua benda ada baik dan ada buruknya termasuklah benda-benda 'simple' macam ni. Aku bukan nak burukkan program ni. Aku pun suka sebab aku boleh nampak satu lagi sisi anak aku yang lain iaitu minat terhadap muzik, macam aku juga. Aku boleh nampak anak aku cepat menghafal, boleh menyebut perkataan dengan betul, kenal binatang dan objek. Dia pun boleh menyanyi ikut melodi yang betul. Tapi macam aku cakap tadi, kena kawallah. Too much of a good thing can be bad for you.

Kan?

No comments: