Tuesday, 21 February 2017

Penatnya Jadi Mak

Aku baru ada dua anak. Tak sampai dua bulan. Punyalah penat. Kalau ikutkan badan, kepala otak logik aku, memang rasa nak marah dan tertekan. Dapat berehat pun sebab Mak tolong jaga anak yang sulung, suami jaga anak kedua. Macam sekarang ni, suami aku jagakan anak kedua sebab aku dah stress. Perlu buat sesuatu untuk bagi lega sikit, untuk bagi 'happy'. Takkan nak guna 'drugs' kan?

Lepas pantang, aku cuba buat kerja rumah sikit-sikit. Dalam rumah Mak aku, ada Mak, Abah, adik dua orang, anak adik. Ramai orang. Tapi masing-masing buat kerjalah. Makanya kerja rumah sikit sangat kalau aku buat pun. Pun aku dah terbaring kepenatan.
Perkara ni buat aku terfikir berkali-kali; macam mana aku nak 'survive' bila balik rumah sendiri nanti? Mampu ke aku nak uruskan rumah dan anak-anak dengan suami saja? Kalau suami aku kerja, aku nak kena buat sendiri; larat ke? Dah kerja nanti macam mana pula?

Belum buat, dah fikir negatif. Bukan apa. Takut. Takut tak mampu nak pikul tanggungjawab tu. Walaupun sebelum kahwin, dah tahu apa yang akan aku hadapi terutama bila dah ada anak. Tapi rupanya banyak benda yang aku tak tahu, dan pengetahuan berdasarkan pengalaman itu lebih memberi kesan berbanding tahu teori dan dengar cerita daripada pengalaman orang lain. Lain anak, lain kisahnya, lain masalahnya, lain pendekatanannya, lain penyelesaiannya.

Dalam kepenatan buaikan dan dodoikan anak, aku pernah beritahu suami aku, dengan nada 'you-have-to-agree-with-this-fullstop', "Anak ketiga nanti tunggu empat-lima tahun lagilah".
Dan dia senyap tak cakap apa-apa. Tidur dah rupanya.

No comments: