Friday 26 November 2010

Mahu Jadi Seseorang Yang Lain

Aku, seorang manusia yang selalu berfikir, terlalu jauh dan selalunya terpesong, yang sering memilih yang negatif daripada positif, dan akhirnya memakan diri, dimana aku mengasingkan diri, menyalahkan diri atas segala sesuatu yang berlaku, hingga pada satu masa terasa diri tak layak untuk terus hidup.

Aku nak jadi seseorang yang lain. Seseorang yang tidak keterlaluan seperti aku sekarang. Seseorang yang kuat sedikit daripada aku sekarang. Seseorang yang positif.

Perlukah aku jadi hipokrit seolah-olah tiada apa yang berlaku? Bolehkah berpura-pura okay itu dikira sebagai hipokrit? Kenapa wujud istilah negatif ini sehingga sesuatu tindakan yang dikira boleh menyelamatkan nyawa dianggap sebagai sesuatu yang salah?

Tapi aku masih mahu jadi seseorang yang lain. Yang kuat hatinya, yang tabah, dan tidak ekstrimis. Aku mahu jadi orang biasa-biasa saja.

Tapi apa orang biasa-biasa itu wujud? Tiap manusia punya kelebihan yang unik, maka tidak ada orang biasa-biasa. Yang wujud adalah orang yang istimewa.

Setiap manusia adalah istimewa. Tak wajar merendah-rendahkan, atau mengagung-agungkan manusia yang pada hakikatnya sama saja.

Jadi, apa benda yang boleh aku jadi?

Diri aku?

Mungkin aku boleh jadi diri aku, dan jadikan diri aku lebih baik daripada yang sekarang ini. Mustahilkah?

Aku sedang sedih, dan aku sedang kecewa, dan aku sedang takut. Aku sedang sunyi, tapi aku ada ramai di sini bersama-sama. Dan aku punya teman kecil yang selalu ada dengan aku, hampir setiap masa. Tapi aku masih rasa sunyi.

Andai aku rasa aku tak berguna, teman kecil itu seperti mengharapkan aku. Dia memandang aku seperti seorang dewasa yang hebat dan mampu membuat apa saja, mampu memberi segala jawapan yang dia ingini. Tapi tahukah engkau wahai teman kecil, aku ini manusia lemah yang tidak punya harga diri? Aku ini selalu rasa tidak diperlukan?

Tapi, kasih sayang itu tak mengira siapakah engkau. Kasih sayang itu menerima manusia lain seadanya. Tapi andai aku sendiri tidak dapat menerima diri aku sendiri, maka apakah aku tidak ada perasaan kasih sayang pada diri?

No comments: