Tuesday 29 December 2009

Berubah

Tengah hari ini escape memasak buat sekian kalinya. Oh, hari ini aku membaca. Nampak macam pelik, tapi abaikan saja. Menghadap laptop berjam-jam tak semestinya membuang masa. Walaupun tak main bisnes (ada pendapat yang mengatakan buang masa saja kalau melayari internet tapi tak pernah nak guna untuk mendapatkan wang), insyaAllah dimanfaatkan (walau selalunya 'merewang' sebab bosan, e-book banyak tapi malas nak baca).

Oh ya, nak cakap pasal apa yang aku baca tadi. Ada dua topik. Pertamanya tentang perubahan kepada pemakaian tudung labuh. Keduanya tentang slogan 1Malaysia yang mendapat pujian juga kutukan daripada masyarakat.

Kedua-duanya membawa satu mesej, iaitu perubahan kepada sesuatu yang baik. Bolehlah juga dipanggil penghijrahan.

Tetapi perlu juga kita sedari, kedua-duanya hanya bersifat luaran, hanya alat yang mencerminkan tujuan.

Baik, mula-mula cerita penghijrahan kepada tudung labuh. Tidak dinafikan terlalu banyak fitnah hari ini tentang muslimah bertudung, termasuklah yang bertudung labuh. Masyarakat 'mengecop' seseorang berdasarkan pakaian. Kerana pakaian itu membawa imej. Jika pembawa imej itu berkelakuan selaras dengan imejnya, maka baiklah pandangan masyarakat kepadanya. Jika tidak, terjadilah fitnah yang mencemarkan pembawa imej yang lain sehinggakan orang lain yang nak berhijrah pun ragu-ragu dan takut.

Bersikap natural dan mengenal peribadi dulu adalah penting. Menunding jari dan memburukkan seseorang adalah petanda ketidakmatangan kita dalam membuat penilaian terhadap sesuatu.

Bagaimana nak menilai? Dengan ilmu. Contohnya, kita kata, 'Bertudung atau tidak itu tak penting. Yang penting aku baik, tak buat benda-benda tak senonoh, sembahyang tak tinggal.' Ini ayat biasa, dan aku sendiri pernah guna semasa aku tak bertudung dahulu.

Pertama, pernahkah kita terfikir, kita berbuat baik dan solat itu untuk apa? Antara jawapannya ialah untuk mendapat pahala, supaya orang suka, benda itu wajib, sendiri rasa suka untuk buat.

Ketahuilah juga menutup aurat itu (termasuklah bertudung) adalah perkara yang wajib, bila tidak dilakukan akan mendapat dosa. Walaupun ada khilaf juga tentang pemakaian tudung tapi agak terpencil kerana telah sepakat ulama tentang pemakaian tudung ini.

Macam mana nak tahu benda yang kita boleh buat dan tidak? Belajarlah. Ramai yang membaca Al-Quran, tak dinafikan. Tapi fahamkah kita apa yang terdapat di dalamnya?

Wahhhh, dah jauh terpesong daripada topik asal.

Dah tak ada idea nak cerita pasal 1Malaysia ni. Baik, aku cuba.

Slogan ini membawa idea perpaduan kepada rakyat Malaysia, supaya memahami dan menghormati perbezaan antara satu sama lain. Sikap suka menunding dan melabel memang popular antara kaum di Malaysia ini. Melayu contohnya, selalu merasa diri 'tinggi' berbanding satu sama lain. Alasannya kerana negara ini milik Melayu. Betullah, tambahan lagi kaum Cina khususnya semakin bertambah dan mempunyai kelebihan dari berbagai segi daripada Melayu.

Maka slogan ini, seperti slogan dan program-program sebelumnya mewar-warkan perpaduan supaya negara ini bebas rusuhan kaum (ataupun peperangan contohnya) dan berada dalam keadaan aman.

Ramai pihak melihat ini sebagai 'promosi' untuk melariskan tampuk pemerintah sekarang. Sokongan daripada masyarakat adalah perlu untuk kekal memerintah. Apalagi jika pemerintah sekarang mempunyai tujuan jangka panjang, untuk membasmi kemiskinan atau melahirkan generasi berilmu, berpandangan jauh dan berakhlak mulia contohnya. Ini kerana walaupun tujuannya sama dengan pemimpin yang terdahulu, dia perlukan sesuatu agar masyarakat yakin pada dirinya dan sekaligus melancarkan proses pembangunan negara.

Pandangan peribadi, tunggu dan lihat. Lagipun sebagai manusia, tak perlu pada slogan untuk jadi berbudi bahasa dan bersangka baik. Sekali lagi, ilmu itu perlu untuk memahami kenapa agama itu ritualnya begini dan begitu. Bukan untuk percaya tetapi untuk mengelakkan perselisihan faham. Jika mereka mengutuk tentang amalan ibadat kita tentu kita marah juga kan? Lagipun, kita kena sedari kita hanya manusia biasa, hamba Allah. Siapalah kita untuk mengagung-agungkan diri sendiri?

Jadi apa-apa pun, ketepikan sebentar fahaman politik kita, fahami makna slogan tersebut, kaji cara perlaksanaannya, motif dan nak terima atau tidak, itu pilihan kita. Jangan tunding jari sesuka hati semata.

Jadi itu sahaja yang aku nak cerita. Bertudung labuh kerana Allah, dan mengamalkan budaya memahami antara satu sama lain demi kesejahteraan negara. Hablun minAllah, hablun minnas. (^_^)

No comments: