Tuesday 15 December 2009

Iman Yang Masih Belum Teguh

Sedang menonton siri Sakaratul Maut di Astro Aruna. Satu-satunya program televisyen dari Indonesia yang aku minati. Yalah, peringatan itu boleh datang daripada apa-apa bentuk.

Kisah tentang lelaki yang luarannya 'alim, tidak meninggalkan solat dan sentiasa mengajak orang sama-sama berbuat kebaikan, tetapi yang sebenarnya selalu merogol kanak-kanak. Hinanya cara beliau meninggal dunia, membuat orang tertanya-tanya kenapakah sedemikian rupa jadinya. Isterinya juga yang asalnya lemah lembut, baik pekertinya dan seorang muslimah yang baik, tidak dapat menerima kenyataan kematian suaminya malah menyalahkan Allah atas apa yang terjadi pada suaminya. Satu tahap, isterinya cuba membunuh diri dan hampir murtad.

Itu dugaan besar, bagaimana seorang wanita yang taat pada Tuhannya boleh hilang kawalan dan tercarik keimanannya lantaran kematian suami tersayang.

Fikir-fikirkan, apakah dugaan yang pernah melanda diri kita, kecil atau besar; bagaimanakah kita menghadapinya?

Lemahnya manusia ini, selalu melakukan sesuatu di luar batasan. Tapi selalu kita lupa bahawa kesedihan dan kesusahan itu, adalah 'hadiah' daripada Allah untuk kita.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?

Al-Ankabut : 2


Jadi, ukuran keimanan itu adalah melalui ujian? Mari sama-sama kita duduk diam-diam dan periksa diri kita; adakah kita ini sudah boleh dikatakan sebagai beriman? Mungkin ya, kita beriman, tetapi seteguh manakah keimanan kita?

No comments: