Thursday 3 December 2009

Merokok Membahayakan Kesihatan : Mengapa Anda Merokok?

Ahhhhaaaaaa!! Ini topik yang sangat menarik untuk dibincangkan, memandangkan perokok amatlah sinonim dalam kehidupan kita. Anyway, aku jumpa topik ni di dalam ILuvIslam.

Abah bukan seorang perokok. Tak tahulah jika masa remajanya dulu merokok. Menurut apa yang aku tahu, memang tak merokok.

Dua orang adik lelaki aku perokok. Angah pernah cuba berhenti, tetapi gagal. Sekarang dia dalam latihan askar, masih merokok cuma tak sebanyak biasa. Dekli tak pernah cuba untuk berhenti. Dan bila dia tak dapat rokok tu, dia mula pening dan berserabut.

Abang pula perokok tegar, tapi sudah dapat mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari.

Aku sendiri bekas perokok. Bekas itu adalah kerana pokai tak berduit untuk 'melanggan' sekotak sehari. Tapi bila ada peluang, aku lepas gian jugalah sekali sekala.

Kenapa susah nak berhenti?

Benda ni macam maksiat jugalah. Bahaya dan berdosa tapi sedap. Katakan kita memang kaki mengumpat. Kita tahu dosa, kita tahu salah. Kita nak berhenti. Tapi bila dalam sehari tak mengumpat, rasa macam kosong, tak sempurna hidup.

Itu analogi.

Memang ada yang kata nampak macho kalau merokok. Orang muda mungkin rasa macam tu. Nak nampak lebih dewasa mungkin. Entahlah. Rokok bukan penanda aras usia dan kematangan. Rokok tak ada kaitan langsung dengan kematangan.

Fakta-fakta kesihatan yang disebut juga benar. Tak aku nafikan penyakit dan implikasi yang boleh menimpa perokok dan mereka yang menghidu asap rokok berkenaan. Pernah juga aku simpulkan perokok ini membunuh diri dan membunuh orang lain. Double sin. Ever thought about that?

Ada yang kata, masalahnya memang tak nak berhenti merokok!! Dia punya syok sampai sayang nak tinggalkan.

Mentaliti. Bila didedahkan dengan suasana orang yang merokok, maka tak dapat nak disalahkan 100% kenapa budak-budak semuda 7 tahun sudah mula merokok. Tak perlu ada ahli keluarga yang merokok. Suasana masyarakat sendiri mencorakkan mentaliti seorang insan.

Begitu juga pergaulan terlalu sosial, seks bebas, hedonisme yang menjadi intipati masyarakat sekarang, menyerap melalui apa yang kita lihat dan alami saban hari. Satu hari nanti akan jadi sesuatu yang 'normal' sama seperti normalnya rokok hari ini.

Salahkan orang itu ini, mengeji, tak akan jadi apa-apa. Aku tak dapat nak beri apa-apa jalan yang boleh mengeluarkan diri daripada masalah ini dalam masa yang singkat.

Jika mentaliti itu puncanya, ambil masa yang lama. Mungkin bergenerasi lamanya. Bila nak mula? Bolehkah dari sekarang? Oleh kita sendiri?

Bagaimana?

Siapa bakal perintis umat akan datang? KITA.

Siapa bakal pendidik dan ibu bapa kepada generasi akan datang? KITA.

Dengan apakah kita dapat menjamin masa depan yang lebih murni dan bersih?

Dengan negara yang stabil dan pesat membangunkah? Atau dengan poket-poket yang sendat berisi? Ataupun deretan ijazah dan phD yang megah tergantung di dinding?

Fikir-fikirkan dan bergeraklah.

P/S : Tahniah kepada Naili dan suaminya Najib atas kehadiran insan baru yang akan lahir insyaAllah tahun depan. Ya Allah, sahabatku bakal punya anak. Percepatkan jodohku Ya Allah.

No comments: