Thursday 13 January 2011

Emotional Disturbance

Gangguan emosi itu memang selalu berlaku. Selalunya sedih. Hari ini, dengan lebih tepat malam ini dan saat ini, perasaan itu lebih kepada kecewa. Entah apa yang aku harapkan hingga boleh jadi kecewa. Mungkin kerana selepas mendengar sebuah lagu yang...... mengenangkan dosa-dosa lama, dan seterusnya membayangkan masa depan yang mengecewakan. Ditambah lagi siang tadi semasa kelas, pensyarah bercerita berkenaan seorang bekas anak muridnya, yang kisahnya sedikit sebanyak meresahkan aku.

Hujung minggu ini, aku mengambil keputusan untuk tinggal di asrama. Aku nak bersendirian dan bersedih-sedih semahunya.

Ada sesuatu kekecewaan lain yang berlegar-legar sejak kebelakangan ini. Permulaan persekolahan tahun ini, sangat menyedihkan aku dengan masalah kewangan yang agak serius. Siapa yang mampu duduk bersenang lenang melihat ibu bapa yang sudah pun berusia, tidur kepenatan selepas pulang bekerja dek mencari duit untuk perbelanjaan kami yang hanyalah beberapa orang; aku, Kecik dan Zakwan. Itu tidak termasuk dengan masalah-masalah lain yang juga melibatkan duit. Aku sangat kecewa dengan diri aku yang tidak mampu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Aku salahkan diri kerana aku tidak ada duit. Untuk hidup sekarang pun aku terpaksa meminta duit daripada mereka. Andai aku anak bongsu, masih kecil, aku mungkin tidak rasa begini teruk. Tapi aku anak sulong, aku yang utama harus membantu mereka, tapi kini aku hanya mampu melihat dan berdoa agar elaun cepat masuk.

Aku bersyukur dua orang adik aku sudah bekerja. Seorang bekerja sedang elok untuk menampung hidupnya sendiri. Dan seorang lagi dapat membantu mak abah.

Semalam aku katakan pada Yan, kalaulah nanti aku tidak dapat peluang untuk mengajar di sekolah, aku nak minta kerja lain. Aku nak minta kerja di SPA, yang aku yakin aku boleh dapat dengan keputusan SPM aku yang agak bagus. Kerja apa saja, bezanya gaji mungkin kurang sedikit daripada gaji seorang cikgu.

Selalu aku salahkan diri apabila perkara buruk berlaku pada orang-orang sekeliling aku, walaupun jelas-jelas ianya tidak ada kaitan apa pun dengan aku. Kadang aku rasa seperti aku ini 'bernasib malang'. Karut. Tapi cukup untuk membuat aku mengasingkan diri jauh dari manusia. Aku takut nak berkawan, aku takut mereka akan membenci aku. Dan bagi mereka yang terang-terang membenci aku, pun seandainya boleh aku akan jauhkan diri daripada mereka.
Mungkin atas sebab itu, gangguan emosi ini semakin menggila. Dan aku jadi semakin takut nak berdepan dengan dunia.

Adakah aku terlalu tidak berguna pada sesiapa pun?

No comments: