Wednesday 20 October 2010

Cerita Mimpi : Inchuk

Ini cerita mimpi aku. Jangan percaya.
Satu dokumentari telah diadakan untuk menemuramah satu kaum yang diberitakan telah membunuh sekumpulan penyamun yang telah menyerang kampung mereka. Kaum ini dinamakan Inchuk, dan kampung tempat tinggal mereka ini seperti satu kota lama besar yang berdindingkan batu-batu gergasi seperti mana yang ditemui pada kota-kota dan kubu yang digunakan pada zaman dahulu. Kaum ini tinggal secara terpencil disalah satu negara di Eropah.

Kaum ini telah mengejutkan benua Eropah atas pembunuhan sekumpulan penyamun, kira-kira 20 orang yang telah menyerang kota mereka, dan pembunuhan itu telah dilakukan hanya oleh dua orang pemuda dengan hanya bersenjatakan tombak (spears).

Melalui kajian daripada beberapa orang pengkaji, kaum itu masih lagi mengamalkan cara hidup pada zaman feudal, akan tetapi masih mengikuti peredaran masa walaupun ketinggalan dalam 10 tahun ke belakang. Namun begitu, kaum ini begitu mahir menggunakan senjata, sama ada senjata lama seperti tombak dan pedang, mahupun senjata moden seperti pistol dan senapang. Maka tidak hairanlah penyamun-penyamun itu berjaya ditumpaskan dengan mudah oleh hanya dua orang pemuda.

Menurut kajian tersebut, pemuda kira-kira 15 tahun hingga 25 tahun merupakan golongan yang paling ramai di antara kaum tersebut. Pemuda-pemuda ini seperti tidak tertarik pun dengan trend dan ikutan zaman sekarang, malah menjadi kekuatan utama kaum tersebut. Didapati juga, kaum ini begitu kuat pegangan agamanya dan merupakan pendorong utama bagi kaum ini dalam meneruskan hidup mereka melawan arus dunia sekarang. Juga didapati, kebanyakan kaum ibu tinggal di rumah menjadi surirumah dan merupakan golongan agama yang paling kuat berbanding lelaki.

Seorang wartawan dengan berani cuba untuk menemuramah kaum itu, akan tetapi tidak mendapat keizinan, malahan diberi amaran oleh seorang pemuda yang kelihatan berusia kira-kira 20 tahun,' Kami tidak meminta apa-apa dari kamu. Jadi adalah lebih baik kamu pergi dan tidak mengganggu kami.'

Begitulah kaum yang hidupnya tidak menghiraukan peredaran masa yang dianggap hanya menghancurkan, malahan percaya bahawa agama merupakan tunjang dalam membentuk insan yang kuat dari segi jasmani mahupun mental. Yang lebih menarik ialah peranan kaum muda dalam mempertahankan dan membina bangsa tersebut.

Aku tak tahu kenapa aku boleh bermimpi tengok dokumentari dalam tv. Ini kali pertama aku mimpi macam tu, tapi sangat menarik. Rasa-rasa logik tak kalau bangsa kita boleh jadi macam tu?

No comments: