Thursday 21 October 2010

Menulis

Aku suka menulis. Sangat suka. Tapi aku lagi suka menaip. Dua perkara yang sama, iaitu penulisan tetapi menggunakan mekanisme yang berbeza.

Aku tahu aku tidaklah pandai menulis. Hanya cerita, selalunya omong kosong sahaja.

Menulis ini ada banyak tujuan. Yang paling utama, pada hemat aku, adalah untuk mencurahkan perasaan. Selalunya orang guna diari. Pada aku tak efektif. Kerana diari adalah satu penulisan yang bosan, kerana bercerita seorang diri, tak ada audien. Bila tidak ada audien, rasa seperti penulisan itu hambar dan kurang menarik, sebab yang akan baca nanti hanyalah diri sendiri, yang memang sudah tahu tentang cerita yang ditulis itu.
Sebab itu aku tulis blog. Walaupun aku tak pasti ada orang baca ataupun tidak, menarik ataupun tidak (kerana citarasa dan pendapat manusia berbeza), aku rasa dengan menganggap akan ada audien yang akan membaca nanti menjadikan aku menulis dengan cantik. Aku ingin orang rasa seronok, ataupun dapat input apa yang ingin aku sampaikan. Makanya, pada pendapat aku penulisan blog ini adalah bersifat ala diari yang ada pengajaran. Kononnyalah.

Selalu juga aku cakap tentang perkara ni; bahasa. Ini pendapat peribadi aku. Untuk mendapatkan hasil yang menarik, gunakan bahasa dengan baik. Ejaan mesti tepat, grammar (aku tak tahu apa makna grammar dalam Bahasa Melayu)pun kena tepatlah. Namun perkataan yang 'fancy' boleh saja nak guna, tapi berpada-padalah. Janganlah dari awal sampai habis ejaan caca marba.
Bahasa adalah identiti sesebuah bangsa. Ramai kalangan masyarakat yang terlalu menggunakan bahasa pasar, atau bahasa terlalu pasar dan pelat di masa ini, sehingga tak tercapai maksud penulisan, dan sekaligus melemahkan penguasaan bahasa dikalangan kita.

Dan jika anda perasan, aku selalu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium, selain daripada Bahasa Melayu. Aku kira, penggunaan kedua-dua bahasa tersebut adalah 50-50 dalam blog ini. Bahasa Melayu itu, sebagaimana yang diketahui adalah bahasa aku. Aku menggunakan Bahasa Melayu hampir 95% dalam kehidupan seharian.
Dan Bahasa Inggeris pula, aku kira merupakan lingua franca pada masa kini. Bahasa yang merupakan bahasa ilmu. Penguasaannya dapat meluaskan lagi dunia aku, ilmu dan pengetahuan sebab banyak sumber terdapat dalam Bahasa Inggeris, termasuklah yang diterjemahkan daripada bahasa asing yang lain. Dan nak belajar bahasa lain pun baiknya dengan menguasai Bahasa Inggeris dahulu sebab Bahasa Melayu ni lain daripada yang lain. Setakat ni aku diberitahu hanya Bahasa Welsh saja yang macam Bahasa Melayu. Lain-lain bahasa adalah lebih mirip kepada struktur dalam Bahasa Inggeris.

Ini, sengaja aku tulis. Biasalah, aku katakan dari awal lagi aku suka menulis. Aku menulis berkenaan apa saja, tapi lebih kepada pemikiran aku sendiri berkenaan sesuatu isu. Tapi aku tidaklah nak menyebarkan ideologi atau pegangan apa pun. Manusia punya akal, boleh digunakan untuk mentafsir sesuatu perkara yang diterima. Bukan lembu yang hanya mengikut orang yang menariknya. Jadi, jadikanlah sesuatu yang kita baca dan dengar itu satu bahan mentah untuk akal kita proses yang seterusnya menjadi ilmu, atau pemahaman mahupun ideologi atau prinsip dalam diri kita.

Macam manalah orang yang malas membaca macam aku ni boleh rajin nak menulis?

No comments: